"Jangan tunduk kepada hawa nafsu, jika kamu tunduk kepadanya, ia akan mempengaruhi kamu supaya membuat maksiat dan dosa. Dan dunia ini mencari hidup berakhlak, tetapi kamu carilah hidup ketuhanan, itu lebih baik. Walaupun sedikit kamu mendapat hidup ketuhanan itu, maka ianya lebih baik dari semua amalan yang dilakukan oleh manusia dan malaikat dan Ingat...!! Selagi seseorang itu di dalam kesedaran pancainderanya, jangan sekali-kali menyebut Ana Al-Haq "Akulah yang benar" atau "Akulah tuhan", samaada lisan mahupun di dalam hati. Kerana selagi ia manusia, ia bukanlah tuhan. Jika ia menyebut perkataan itu, maka ia adalah palsu dan bid'ah"
Abu Mansur Al-Hallaj

Kenangan Dulu-dulu

Khamis, 2010 Januari 07

Allah Inti Akidah, Kenapa Katholik Mahu Gugat?

Oleh Dr Siddiq Fadzil

Selama berabad-abad Malaysia (dan sebelumnya Tanah Melayu) yang terbentuk daripada gabungan negeri-negeri Melayu ini dirujuk sebagai model negara berbilang-bilang kaum dan agama yang rukun, harmonis dan penuh tolerasi.

Kejayaan mencipta kerukunan hidup antara agama adalah suatu prestasi ketamadunan dan kemanusiaan yang tidak ternilai.

Faktor kunci kejayaan ini tidak lain adalah sikap ramah bangsa Melayu-Muslim yang menjadi golongan majoriti dan sekali gus "tuan rumah".

Keramahan luar biasa yang memang menjadi watak bangsa inilah yang memungkinkan penganut pelbagai agama (Kristian, Hindu, Buddha dan lain-lain) di negara ini menikmati kebebasan dan keselesaan mengamalkan agama masing-masing tanpa gangguan.

Selama ini kerukunan hidup sedemikian itu dapat dipertahankan kerana adanya sikap menghargai keramahan (Melayu-Muslim) tersebut, di samping adanya rasa hormat terhadap kedudukan istimewa agama Islam sebagai agama persekutuan, juga kerana adanya kesedaran terhadap realiti kesejarahan dan kebudayaan negara ini.

Memang dalam sejarahnya negeri-negeri Melayu adalah bahagian daripada warga rumpun besar Dar al-Islam. Kesedaran tentang hakikat-hakikat inilah yang melatari keharmonian hubungan antara kaum dan agama selama ini.

Justeru, kesedaran tersebutlah yang membentuk sikap saling memahami dan menghormati batas dan sempadan daerah keagamaan masing-masing. Kaum bukan Muslim umumnya cukup memahami daerah sensitiviti masyarakat Melayu-Muslim, dan demikian pula sebaliknya.

Kerana itu, hal-hal yang berkaitan dengan kedudukan Melayu dan Islam biasanya tida diusik atau diganggu.

Ketegangan di sekitar isu pemakaian kalimat Allah ketika ini berpunca akibat kegagalan menghayati tradisi menjaga sensitiviti umat Melayu-Islam. Mereka yang berkeras mahu menggunakan kalimat Allah dalam konteks agama Katholik bukan tidak tahu tentang keberatan umat Islam terhadap tuntutan mereka.

Sikap tersebut tidak lain adalah gejala hilangnya kepedulian terhadap perasaan dan pendirian orang lain. Seharusnya mereka berusaha untuk cuba memahami keberatan umat Melayu-Muslim terhadap pemakaian nama Allah dalam konteks agama selain Islam.

Bagi umat Islam, Allah di atas segala-gala. Demikianlah hakikatnya, Allah selama-lamanya ultimate concern bagi kaum Muslimin. Syahadat pertama keislaman mereka adalah kesaksian tentang hakikat ketiadaan tuhan selain Allah (Yang Maha Esa).

Hanya Dia yang bernama Allah, nama yang dipilih sendiri oleh Allah khusus untuk diri-Nya, tidak siapa pun boleh memakainya selain Allah sendiri. Ia adalah al-ism al-a'zam, nama agung bagi dhat yang wajib al-wujud. Ia adalah nama yang merujuk dhat yang meliputi seluruh sifat ketuhanan.

Sebagai nama khusus-Nya, ia berbeza daripada nama-nama-Nya yang lain seperti al-Qadir, al-'Alim, al-Rahim yang boleh dipakai oleh yang lain-lain. Kerana kekhususannya itu jugalah nama-nama-Nya yang lain itu dinisbahkan kepada nama Allah, lalu disebut asma'u 'Llah (nama-nama Allah).

Al-Sabur, al-Shakur, al-Qadir misalnya disebut sebagai nama-nama Allah, tetapi tidak boleh disebut sebaliknya, Allah adalah nama al-Shakur atau al-Sabur. Demikianlah hakikat kalimat Allah sebagai nama khas ('alam) yang tidak dipakai untuk selain-Nya.

Allah bukan nama am yang siapa sahaja boleh memakainya, dan bukan juga kata umum tanpa makna dan definisi tertentu sehingga siapa sahaja boleh memaknainya. Andainya kalimat Allah dimaknai lain daripada makna dan definisi hakikinya, jelas akan menimbulkan kekacauan semantik yang serius.

Bagi umat Melayu-Muslim, sejak mula kalimat Allah sudah sedia terpadu dengan definisi yang mantap dan muktamad, definisi yang diungkapkan oleh Allah sendiri dalam surah al-Ikhlas, "Katakanlah: Dia-lah Allah, Yang Maha Esa. Allah adalah Tuhan yang bergantung kepada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan tiada pula diperanakkan. Dan tidak ada seorangpun yang setara dengan Dia."

Penurunan surah tersebut dilatari peristiwa kedatangan sekumpulan orang Yahudi meminta Nabi SAW memberikan pemerian tentang Tuhannya. Kerana itu surah ini bermula dengan kata Qul (katakanlah) yang kemudian diikuti dengan ayat-ayat yang mengandungi rumusan definisi tentang Allah.

Ternyata Allah adalah nama yang menyebatikan makna bersifat tauhid, nama yang menolak syirik, dan sekali gus nama yang menafikan faham tritunggal (tidak beranak dan tidak diperanakkan). Kerana itu surah ini disebut juga dengan nama suratu it-tawhid.

Memang ia surah yang merumuskan faham tauhid yang semurni dan semutlaknya. Ayat-ayat dalam surah ini juga dengan jelas mengungkapkan makna bahawa Allah adalah "...a personality", bukan sekadar suatu konsep falsafi yang abstrak.

Surah al-Ikhlas adalah antara sekian banyak surah dan ayat al-Qur'an yang membawa mesej peralatan konsep (conceptual correction) terhadap pemakaian nama Allah di kalangan masyarakat pra-Islam termasuk sebahagian suku-suku Arab jahiliah dan kaum Nasrani.

Mereka memakai nama Allah dalam konteks faham syirik, termasuk faham al-tathlith atau tritunggal. Ayat-ayat korektif tersebut rata-rata membawakan makna dan nada ketidakrelaan Allah terhadap pemakaian nama-Nya dalam konteks yang menyimpang daripada prinsip kemurnian dan kemutlakan tauhid.

Demikianlah kalimat dan nama Allah yang difahami oleh umat Melayu-Muslim umumnya, lalu bagaimana mungkin mereka yang saban hari membaca dan menghayati surah al-tawhid akan dengan senang merelakan Nama Suci dan Agung ini dipakai dalam konteks faham syirik.

Sikap berkeras mahu menggunakan juga kalimat Allah (sekalipun dengan mengguris perasaan sebahagian besar umat Melayu-Muslim) menimbulkan tanda tanya, ada apa sebenarnya?

Selama ini, sejak ratusan tahun, tanpa memakai nama Allah, para penganut Katholitik telah dapat mengamalkan agama mereka dengan leluasa.

Ajaran Katholik dapat difahami oleh para penganutnya, malah telah dikembangkan tanpa masalah. Lalu kenapa sekarang isu ini dibangkitkan dan diperjuangkan dengan cara yang begitu provokatif?

Mereka bukan tidak tahu betapa sensitif dan eksplosifnya isu ini. Mereka juga bukan tidak tahu bahawa isu ini menyentuh jantung ajaran agama Islam.

Rasanya wajar sekali kita merenung kata-kata Gopal Raj Kumar yang kami petik di bawah ini:

What Catholics appear to be seeking here is an extension to that form of racism that whatever non Malays and non Muslims wish to do in the name of religion has to be tolerated in the name of a half written constitution.


Whilst at the same time arguing against everything that the Malays as a majority in a democracy do as wrong and racist.


Catholics must learn to reciprocate in kind to a people in whose country they have been treated with much reverence, dignity and respect over centuries.


Malaysia although fundamentally a Muslim state has, advocated for and advanced Catholic (and other religious causes and purposes) without the let or hindrance of religious intolerance like that imposed on them by the Thais, Burmese, Philippines, Australians, Chinese and more recently the Swiss.


Much of the reason we are able to debate such issues and to read and write about it today it is often argued is the result of a good Catholic education. Wrong! It is equally the result of Malay Muslim generosity in allowing the propagation of the faith, its schools and other institutions to thrive and its tolerance of their values.


It is a pity that in return all that the Catholic church has to offer is an insult to the Malays and Malay Muslims in persuing such a worthless policy of provocation.


In a demonstration of its faith in its own credo of Good Christian Charity and goodwill, the Catholic Church ought to withdraw the ridiculous and provocative demand now legitimised by a flawed decision.


It should demonstrate that it ought not to be allowed the sinister use of one Arabic word Allah which is clearly a thorn in the side of its Malay majority hosts.


The church may do so without any embarrassment to itself. On the contrary with one fell act of goodness and respect it would build a bridge of understanding likely to last forever as a monument to its credo, rather than for the blemishes in its record of insults, abuse, its betrayal to the colonials and the undermining of the cultural and religious sensitivities and heritage of Malaysia's majority (http://takemon.wordpress.com/about/).

Isu ini seharusnya diselesaikan secepat dan sebijaksana mungkin. Semakin lama dipolemikkan, akan semakin panjang rentetan persoalannya.

Sikap berkeras mahukan sesuatu yang jelas-jelas tidak dapat diberikan akan menimbulkan dugaan adanya agenda terselubung di balik tuntutan tersebut.

Ia akan ditafsirkan sebagai strategi "lulus jarum, lulus kelindan", selepas kalimat Allah akan banyak lagi istilah-istilah Islam yang dikatholikkan seperti kalimat syahadat, solat, zakat, haji dan lain-lain lagi.

Isu ini akan memarakkan spekulasi bahawa ia adalah bahagian daripada agenda besar mengherotkan Islam dengan memakai istilah-istilah Islam yang dirobah erti dan isinya.

Masyarakat Islam akhirnya akan mengalami kekeliruan yang serius dan tidak lagi mengenal Islam yang murni. Lebih jauh lagi isu ini akan membangkitkan semula kenangan pedih masa lalu, zaman awal kedatangan penjajah Barat yang membawa agenda pengkristianan rakyat peribumi Melayu.

Arkitek penjajahan Inggeris di rantau ini Stamford Raffles tidak datang hanya untuk mengaut kekayaan, tetapi juga datang dengan misi dan cita-cita pengembangan Bible Society.

Kegiatan menyebarkan agama Kristian di kalangan peribumi Melayu itu dilakukan atas nama "...cultivating the waste and barren soil of the native mind".

Usaha mengkristiankan orang Melayu telah dilakukan dengan bersungguh-sungguh, termasuk dengan menterjemahkan Bible ke dalam bahasa Melayu.

Untuk itu mereka telah mendapatkan khidmat Abdullah Munsyi. Bagaimanapun orang Melayu berpegang kuat dengan Islam. Abdullah Munsyi yang terlibat dalam penterjemahan Bible mendapat gelar ejekan "Abdullah Paderi".

Catatan tersebut seharusnya sudah menjadi "perkara masa lalu" yang sudah tidak relevan lagi dalam konteks semangat masa kini, era membina kesatuan dalam kepelbagaian.

Provokasi-provokasi keagamaan seharusnya dihindari, dan tuntutan yang menjadi keberatan umat Melayu Islam ini harus dihentikan.

Apapun yang berlaku pada pemakaian kalimat Allah di luar Malaysia tidak semestinya relevan dengan masyarakat kita. Isu ini harus dilihat secara kontekstual.

Realiti sejarah dan budaya Malaysia memang tidak memungkinkan pemakaian kalimat Allah di luar konteks keislaman.

Fiqh kita mengambil kira 'uruf ahl al-balad (budaya warga setempat). Antara yang harus menjadi pertimbangan utama dalam isu ini ialah mafsadah atau kesan buruknya yang perlu dihindari.

Datuk Dr Siddiq Fadzil, presiden Wadah Pencerdasan Umat Malaysia (WADAH). Bekas ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga mantan presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim). Artikel ini asalnya dimuatkan di laman web rasmi WADAH dan Malaysiakini menerbitkan kembali dengan sedikit suntingan.

- MALAYSIAKINI


** Dipetik dari laman sahabat MyAdha (Klik sini)




Pengantara Majlis: A. Awang
Ketidakfahaman Bakal Mengundang Masalah Yang Lebih Besar

Selasa, 2010 Januari 05

Syair Rumi Ke Laras Pantun 1






"Syair Rumi membawa makna, 
Lahir zahir cerah batinnya; 
Ilham hadir terbinalah istana, 
Laksana hikayat fikiran jurubina."


------------------------------------------------------




"Segerpak angin menyingkap tirai,
Dinding bergegar jadi petanda; 
Andai mulut serupa murai, 
Rahsia di rumah terdedah semuanya."


------------------------------------------------------




"Girangnya hati seorang hamba, 
Mendapat mawar semerbak baunya; 
Akal budi peribadi dijaga, 
Pemikiran laksana kilauan mutiara."


------------------------------------------------------




"Nyaring bunyi si burung hering, 
Seolah menjerit di tengah kota; 
Kiranya lidah tidak disaring, 
Tertutuplah rapat pintu hatinya."


------------------------------------------------------




"Nilai tinggi pada sepatu, 
Petanda kaya juga miskinnya; 
Keberadaan pengemis lewat di pintu, 
Itulah makam buatnya di dunia."


------------------------------------------------------




"Api pelebur besi dan emas, 
Bahan membuat cincin di tangan; 
Hati lebur iman terbias, 
Dunia penyebab kalbu terbeban."


------------------------------------------------------




"Lemparkan pandangan terus ke bulan, 
Bulan ternampak hanyalah satu; 
Andai berlaku sebarang pertelingkahan, 
Jangan berpecah kembalilah bersatu."


------------------------------------------------------




"Andai perwatakan baik dijagai, 
Kusut di jiwa habis terlerai; 
Benih tak elok usah dibajai, 
Kelaknya mubut hancur berkecai."


------------------------------------------------------




"Bermula nama Abu al-Hakam, 
Oh dirinya dahulu begitu mulia; 
Lantaran hasad dengki dan dendam, 
Mulia ditarik Abu Jahal gantinya."


------------------------------------------------------




"Tua muda sibuk mencari, 
Emas berkilau mengaburi mata; 
Andai hati sudah ditutupi, 
Emas pancalogam tiadalah berguna."


------------------------------------------------------

Dialih ke laras pantun oleh: Ampuan Awang


P/s: Maulana Jalaluddin Rumi Muhammad bin Hasin al Khattabi al-Bakri (Jalaluddin Rumi) kita sedia maklum akan namanya dan pastinya terkenal di kalangan ahli falsafah kerohanian kerana beliau meupakan seorang Penyair Sufi ulung ketika itu. Di atas keprihatinan diri, saya cuba mengolah kembali bait kata Rumi ke laras 'Pantun' yang mana terjemahan teksnya dibuat oleh Daud Mohammad atau lebih selesa dipanggil menggunakan nama penanya Darma Mohammad, sementara saya pula memanggilnya dengan gelar nama Pak Darma. Saya merasakan bahawa tiada kesalahan bagi saya untuk membawa Syair Rumi ke laras pantun. Terima kasih saya ucapkan buat Pak Darma atas terjemahan teks Syair Rumi yang ternyata hebat untuk dipantunkan dan saya akan terus memantunkannya. Sekian. Wassalam...



Tangan yang menulis: Ampuan Awang
Jalaluddin ar-Rumi Penyair Sufi Agung

Isnin, 2010 Januari 04

Isu Kalimah 'Allah' (Soal Jawab Dalam KitabWajah @ Facebook)







Ini adalah antara soal-jawab antara rakan-rakan di pelbagai ruangan komen di Facebook.
Ada editing dilakukan bagi memudahkan pemahaman.
Saya sekadar menyiarkan kompilasi soal jawab di laman ini.


Soalan : Kenapa mahu marah-marah Kristian pakai kalimah Allah? Kenapa perlu berebut? Yang penting kita tahu Allah itu siapa sudahlah.

Jawapan : Isu 'Allah' ini bukan isu perebutan nama. Ia adalah isu akidah, isu falsafah, isu maqasid di sebalik nama itu.

Kita tidak marah kalau Kristian mahu menisbahkan Allah kepada Tuhan yg sebenar. Tiada masalah. Tapi kita tidak setuju kalau dikatakan Allah itu adalah Roh Kudus dan Jesus atau sebaliknya atas sebab Trinity yang mereka pegang. Bukankah di dalam Bible menyebut "Aku dan 'Bapa' adalah satu"?







Soalan : Tetapi musyrikin Makkah dan Arab pada zaman Nabi pun pakai nama Allah. Bapa Nabi pun bernama Abdullah. Apa masalahnya?

Jawapan : Memang musyrikin Arab memakai kalimah 'Allah' bila mereka merujuk kepada Tuhan. Betul. Tapi menjadikan alasan itu bagi menghalalkan penggunaan 'Allah oleh Kristian Trinity adalah tidak kena. Kerana musyrikin zaman itu memahami 'Allah' itu sebagai Tuhan yang sebenar. Mereka tidak menisbahkan 'Allah' itu sebagai Latta dan Uzza dan berhala-berhala yang mereka sembah. Sebab itu mereka digelar 'musyrikin'.





Soalan : Tapi Allah ada sebut “Dan sesungguhnya jika engkau (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka (yang musyrik) itu: “siapakah yang menurunkan hujan dari langit, lalu dia hidupkan dengannya tumbuh-tumbuhan di bumi sesudah matinya?” sudah tentu mereka akan menjawab: “Allah”. Ucapkanlah (Wahai Muhammad): “Alhamdulillah” (sebagai bersyukur disebabkan pengakuan mereka yang demikian), bahkan kebanyakan mereka tidak menggunakan akal (untuk memahami tauhid) (al-Ankabut:63).

Kan kita disuruh mengucap Alhamdulillah bila non-muslim mengaku Allah itu Tuhan. Jadi, kenapa anda hendak halang?

Jawapan : Sebab itulah pentingnya sebelum mengambil apa-apa dalil mesti kita faham asbabun nuzul dan tujuan ayat itu turun. Sama seperti ayat 'La ikraha fiddin'. Ia ditujukan kepada mereka yang memaksa bukan Islam masuk Islam bukan sebaliknya. Sebab itu adanya golongan Islam Liberal yang menggunakan ayat ini secara umum bagi menghalalkan murtad.


Hakikatnya ayat ini ditujukan kepada Musyrikin Arab yang berada di sekitar Nabi saat itu. Bukan kepada seluruh 'bukan Islam'. Sebab itulah Islam tidak membantah. Sebab itu jugalah Nabi disuruh mengucapkan syukur. Sebab musyrikin itu masih kenal dan tahu siapa Allah yang sebenar walaupun disyirikkan dengan menyembah berhala.


Maka bersyukurnya Nabi pada hal itu adalah benar.


Bukannya untuk Kristian yang mengatakan Allah dan Jesus itu adalah satu. Yang mengatakan Allah itu Jesus dan Jesus itu Allah. Yang mengatakan Jesus itu diri Allah yang boleh disentuh, didengar, diam bersama, dirasa etc.


Munasabahkah kita bersyukur apabila Kristian mengatakan Allah Jesus yg menurunkan hujan dari langit?


Maka kesyukuran kita itu adalah pada hal yg batil.


Soalan : Tapi bukankah Allah ada sebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).

Jadi yang penting konsep. Bukan nama. Setuju?

Jawapan : Ayat ini secara jelas membantah penggunaan kalimah 'Allah' untuk dinisbahkan kepada Jesus dan Roh Kudus. Inilah yang mereka mahu buat pada hari ini. Ini yang kita bangun membantah. Inilah isu yang mendasarinya. Ini bukan soal istilah saja.


Kalau mereka menisbahkan Allah itu kepada Tuhan yang sebenar dan bukan kepada yang lain seperti yg dibuat musyrikin pada zaman nabi, kita pun tak mahu nak halang. Qulilhamdulillah!


Soalan: Bukankah Quran mengakui bahawa adanya tempat-tempat pertapaan serta gereja-gereja (kaum Nasrani), dan tempat-tempat sembahyang (kaum Yahudi), dan juga masjid-masjid (orang Islam) yang sentiasa disebut nama Allah banyak-banyak dalam Surah al-Hajj ayat 40. Jadi apa masalahnya kalau gereja Katolik mahu menggunakan nama Allah? Mereka berhak.

Jawapan: Memanggil 'nama Allah' dan 'Allah' adalah 2 hal yg berbeza. Tolong bezakan.

Sudah berzaman penganut agama Tauhid memanggil Tuhan yang sebenar dengan bahasa mereka atau bahasa kitab mereka. Bani Israel mungkin memanggilnya Eloh, orang Nusantara mungkin memanggil-Nya Dewata Mulia Raya, orang Parsi mungkin memanggil-Nya Ahura Mazda. Dan bila mereka sebut nama-nama itu, memang mereka merujuk kepada Tuhan yang sebenar iaitu Allah


Sama apabila kita menyebut Ar-Rahman, Ar-Rahim, Al-Malik, maka kita merujuk kepada Allah, Tuhan yang sebenar. Bukan kepada yang lain.


Jadi andaikata mereka mahu meminta hak sekalipun, yang mereka boleh minta adalah kalimah yang ada dalam kitab mereka. Eloh, Elohim, Yahweh. Bukan 'Allah'.


Soalan: Tetapi bukankah Kristian Arab juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible mereka? Tidak pula kerajaan Arab menghalang.

Jawapan: Kebanyakan Kristian Arab yang memakai kalimah 'Allah' dalam terjemahan Bible (dipanggil Kitabul Muqaddas) adalah Kristian Unitarian. Yang percaya Allah itu Esa. Katolik Malaysia Unitarian kah? Tentulah tidak. Mereka adalah Kristian Trinitirian. Kristian Trinitirian mengkafirkan Kristian Unitarian.


Soalan : Tetapi Kristian Indonesia juga memakai kalimah 'Allah' di dalam Bible. Bukankah mereka Trinitirian juga? Dan Indonesia masih lagi kekal sebagai negara Islam terbesar di dunia. Tidak ada masalahpun. Kita ni mahu ditertawakan Indonesiakah?

Jawapan : Tahukah anda disebabkan liberalnya agama di Indonesia maka ada premis pada hari Jumaat menjadi masjid, pada hari Sabtu menjadi kuil dan pada hari Ahad pula bertukar menjadi gereja?

Mahu Masjid Putrajaya menjadi Gereja St Thomas pada hari Ahad? Mungkin tidak hari ini. Tapi 50 tahun lagi?



Soalan: Kita mesti menjaga akidah dengan ilmu. Maka didiklah generasi muda kita. Mesti mereka tak akan salah faham kalau Kristian gunakan 'Allah' sekalipun. Tak perlu larang pun.

Jawapan: Ini bukan masalah keliru sahaja. Ia juga masalah falsafah dan maqasid yang ada disebalik kalimah Allah. Syariat Islam turun dan memurnikan kalimah 'Allah' itu selama 1400 tahun. Hari ni awak sanggup membiarkan kalimah itu tercemar?


Dakwah dan mendidik satu hal. Preventif satu hal. Dua-dua kena ada. Tuhan tak suruh Iqra' sahaja. Tuhan suruh laksana Hudud Qisas juga. Tuhan suruh "Az-zaniyatu waz-zaani fadzlidu kulla wahidim-minhuma miata jaldah". Ini apa? Preventiflah.


Jika tak perlu preventif, rombaklah Kanun jenayah negara. Berikan pendidikan saja, nescaya rasuah, mencuri, rompak, rogol tidak akan berlaku.


Berani jamin?


Soalan : Bukankah dengan penggunaan kalimah 'Allah' akan menyebabkan mereka akan lebih memahami Islam dan kita boleh mengambil peluang ini untuk berdakwah kepada mereka? Malah mungkin mereka juga akan terkeliru dengan konsep Triniti sebab 'anak Allah adalah Allah". Ini kelebihan kepada umat Islam!

Jawapan : Bagaimana untuk mereka lebih memahami Islam dengan cara begitu? Mereka bukannya baca kalimah 'Allah'. Sebab kalimah itu cuma ada dalam Bible bahasa Melayu atau akhbar Herald bahasa Melayu. Mereka baca dalam Bible berbahasa Inggeris. Yang ada cuma 'God'. Jadi, untuk siapa Bible Melayu ini ditujukan?

Kalau mahu ditujukan kepada Kristian Malaysia Timur, kaum Iban dan Kadazan contohnya, maka gunalah bahasa mereka. Kalau mahu standard di dalam bahasa Melayu, maka gunalah 'Tuhan'. Itukan bahasa Melayu? Kalimah 'Allah' bukan berasal dari bahasa Melayu, apatah lagi Iban atau Kadazan atau Murut.


Jika anda boleh mengatakan Kristian akan terkeliru maka kenapa anda tidak mengatakan orang Islam juga boleh terkeliru? Maka tak perlulah pakai. Dua-dua tidak akan terkeliru. Akidah orang Kristian terjaga, akidah orang Islam pun terjaga. Cari penyakit buat apa?


Soalan : Mungkin Jesus perlu diisytiharkan sebagai 'Isa, Nabi dan Rasul yang Allah turunkan untuk menyampaikan RisalahNya dan bukan Tuhan Anak' sebagai susulan kepada pembolehan nama Allah untuk Bible?

Kiranya setiap kali perkataan Allah digunakan dalam Bible, perlu dijelaskan sekali dalam ayat yang sama bahawa Jesus adalah manusia, makhluk ciptaan Allah dan bukan anak Allah.

Sehubungan itu, rasanya ini peluang dakwah kepada orang Islam sendiri. Sementara penggunaan undang2 dijalankan untuk membantah hal ini, inisiatif perlu dilakukan untuk menyampaikan maksud sebenar taktik mereka. Artikel ini salah satu contoh inisiatif itu.

Jawapan : Pandangan anda itu sangat bagus, tapi tak kena dgn realiti hari ini. Terlalu idealis.


Contoh, kalaulah kita mahu setiap kalimah 'Allah' di dalam Bible diterangkan Allah itu Esa, Jesus bukan anak Allah, bagaimana pula kalau Kristian meminta hal yg sama? Bagaimana pula kalau Kristian minta setiap kalimah Allah di dalam Quran dimasukkan sekali pengertian "Jesus adalah diri Allah'?


Maka orang Islam murtad, orang Kristian pun murtad sama.


D dalam Islam, nas mesti diutamakan dari maqasid. Fiqh nash. Ini Fiqh tingkatan teratas. Lagi tinggi dr Fiqh waqi', fiqh muazanah dan fiqh aulawiyyat. Biar pun matlamatnya baik, tetapi apabila bercanggah dengan nas, maka noktah.


Allah sebut dalam Quran,


"And to Allah belong the best names, so invoke Him by them. And leave [the company of] those who practice deviation concerning His names. They will be recompensed for what they have been doing." (Al-A'raf: 180)


Dan Ibnu Qayyim kata 'Allah' ialah satu kalimah yang disandarkan kepadanya seluruh Asmaul Husna. Syeikh Abd Rahman sebut bhw bila disebut Allah maka ia bermaksud satu Zat yang sempurna yang tidak ada cacat baginya.


Maka dahulukanlah nas. InshaAllah selamat.




Sejujurnya, saya tidaklah terlalu terkejut atau tersentuh sentiviti yang terlampau. Namun bila melihat isu ini dari segi lughah (linguistik), semantik, maqasid syara', siasah syariah, feqh da'wah dan usul feqh maka ia sangat tidak tepat KONTEKS penggunaan semata-mata dalil dari zahir nas. Ia tidak boleh ditanggapi sekadar literaly nas semata-mata. Maka terasa 'geram'nya juga polemik ini.


Ia lebih dari sekadar sentimen atau hak eksklusif. Ia berkaitan Aqidah. Jika kita pergi website dakyah Kristianisasi Melayu memang hujah mereka begitulah. Mari kita sembah ALLAH dan masuk ke agama kristian sebab Tuhan kami pun ALLAH. Keliru?


Begitulah. Apabila isu-isu tidak ditimbang dengan kaedah feqh (bagaimana menguruskan dalil dan nas).


Mudarrah = Keliru aqidah + usaha dakyah kristian


Maslahah-kononnya (bagi mereka yang menyokong) = Peluang dakwah nonMuslims + memberi peluang memperkuat Aqidah.


Maka bertembungan gain benefit and avoiding harm in religion, maka avoiding harm didahulukan ( درء المفسدة أولى من جلب المصلحة).




Apabila kita meneliti hujjah mereka yang menyokong i.e Dr Asri, YB Khalid dan Us Zaharuddin (Tetapi Us Zaharuddin tidak bersetuju dari aspek Siasah Syariah (Political Science) kita akan mendapati hujah mereka atas nas/dalil literally.


Menggunakan literal nas semata-mata namun aplikasi atas KONTEKS penggunaan yang salah:-


1) Uruf Malaysia tidak boleh digunapakai. Qiyas ma'al fariq (Qiyas dengan keadaan negara lain i.e Uk, US etc yang 'dikatakan' menggunakan nama ALLAH dalam da'wa mereka)


2) Konteks penggunaan literal dalil yang salah. Sebagai contoh ayat:-


" Dan berkatalah Yahudi, Uzair itu anak ALLAH"


Lafaz itlaq (إطلاق) dalam AlQuran bukan semua akan menjadi أمر (Suruhan/Arahan) dalam bentuk hukum harus/halal/haram. Perlu ada kupasan seterusnya menerusi kaedah feqh dan usul feqh.


3) Konteks penggunaan ALLAH yang diitlaq dalam AlQuran perlu dilihat dari sudut Siyaqul Kalam ( سياق الكلام) penggunaan ayat-ayat tertentu. Adakah diitlaq sebagai penceritaan, analogi atau sekadar pemindahan/proses pengkisahan.


Semua sudut terminologi Quran perlu diambil kira mengikut metodologi hukum yang telah disusun.




Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88) dan (Surah al-Ankabut ayat 63)" .


1- Tentulah konteks ayat tersebut berbicara atau reflects back upon ALLAH as the Ultimate atau ALLAH yang ESA. Sedang yang Kristian Herald nak gunapakai BUKAN merujuk ALLAH the ALMIGHTY sebaliknya konsep triniti.


2- Bahkan tentulah keesaan ALLAH tidak akan terjejas samada kita menyembahNYA, mengakui keESAanya atau tidak. KEESAAN Allah bersifat Qadim. الله قيام بنفسه. Sedang kitalah yang akan terjejas jika tidak mengakui keESAAAN ALLAH.


3- Bahkan juga sudah semestinya ALLAH lah PENCIPTA semua makhluk dari sudut ma'nawi (essence) dan hakikat sebenarnya samada manusia mengguna pakai term/bahasa apa pun. Samada manusia mengakui atau tidak. Sebaliknya kita - sebagai manusia- yang tidak mengakui/submit to ALMIGHTY ALLAH. Justeru dalam penggunaan terms ini lebih kepada bentuk konteks penggunaan yang perlu digunakan metodologi ahkam berbalik/merujuk kepada kita @ mereka. Yakni kita/mereka merujuk kepada siapa? Dalam hal ini kembali/merujuk kepada penggunaan proses dakyah missionari mereka maka secara terus ia tertolak.


Allah menyebut: (maksudnya) “Sesungguhnya telah kafirlah mereka yang berkata: “Bahawasanya Allah ialah salah satu dari yang tiga (triniti)”. padahal tiada tuhan (yang berhak disembah) melainkan Tuhan Yang Maha Esa..(Surah al-Maidah ayat 73).


4- Uruf (custom) luar negara tidak boleh dijadikan stance atau hujjah kerana - العادة محكمة- Adat/Custom/unique custom sesebuah tempat boleh disandarkan hujjah selagi mana tidak bertentangan dengan AlQuran, Sunnah, Ijma' dan Qiyas. Di negara kita mudarrat (mereka yg goyah/keliru Aqidah dalam dakyah) dan maslahah (yg dikatakan di luar negara ramai masuk Islam sebab what's not regarding term ALLAH adalah dua perkara berbeza melalui KONTEKS URUF Malaysia. Kita mudarrah lebih besar/utama dari nak menarik nonmuslims. Justeru melalui kaedah feqh apa yang saya sebut sebelum ini, konsep/hujjah yang mereka gunakan jelasnya tertolak.


Allahua'lam.

** KREDIT buat sahabatku Mohd Shafiq Abas (Klik sini).



Pengantara Majlis: A. Awang
"Sudah Terang Lagi Bersuluh" takkan tak faham-faham lagi...

Allah (Lagi) Oleh Faisal Tehrani

Oleh: Faisal Tehrani                                                                                                





1. Saya pernah menulis mengenai kalimah Allah di blog ini (lihat sini). Intinya saya tidak bersetuju kalimah tersebut dibenarkan untuk kegunaan penganut agama selain Islam.

2. Kalimah Allah bukan sahaja bererti Tuhan. Ia membawa sama 'nilai kesucian' yang tersendiri buat penganut agama Islam. Kerana itulah seseorang muslim dalam keadaan janabah misalnya tidak akan memegang (ayat-ayat suci) al-Quran. Kerana itulah jika kita terserempak keratan kertas bertulis 'Allah, Nabi Muhammad' di atas jalan, kita akan mengutipnya, dan cara untuk melupuskan keratan itu selalunya kita membakar ia sehingga musnah. Pendek kata Allah bukanlah semata-mata 'Tuhan'. Ia membawa 'keberatan' atau weight yang lebih mendalam.

3. Kebenaran penggunaan kalimah Allah buat penganut agama lain akan memberi kesan dalam bahasa Melayu juga. Bayangkan Allah dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka bermaksud 'Tuhan Yang Esa' terpaksa dirombak, tunduk menurut ajaran Kristian dengan sisipan ayat contoh kedua: (Astaghfirullah) Jesus adalah anak Allah. Kita juga mungkin (terpaksa) merujuk gereja sebagai 'sebuah lagi rumah Allah'. Ini kerana bukan sahaja masjid lagi dapat dirujuk sebagai 'rumah Allah'.

4. Jika Allah hanyalah satu kalimat bermaksud Tuhan, maka orang Islam (Muslim India dan Melayu) Singapura tidak akan turun ke jalanraya satu masa dahulu untuk mempertahankan akidah Natrah. Kita juga tidak perlu berheboh-heboh mengenai Nur Aishah Bukhari, tidak berheboh-heboh mengenai Lina Joy. Jadi, Allah adalah lebih dari Tuhan.

5. Seperti yang pernah saya sebutkan, mintalah pendita Kristian menyelak Bible (yang asal Vatican) mereka dan tunjukkan di mana ada kalimah Allah?





6. Sebenarnya Vatican sendiri menolak pengunaan kalimah Allah untuk merujuk Tuhan. Pernahkah anda mendengar Pope Benedict (pendita rujukan penganut Katolik sedunia) misalnya menggunakan kalimah ini dalam khutbah atau misa beliau? Ini kerana dalam "Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' telah pun menyatakan Allah dan Tuhan Kristian berbeza.

7. Konsili Vatican Kedua tersebut menyatakan dengan terang-terang bahawa Allah dalam al-Quran (Islam) berbeza dengan Tuhan yang digambarkan oleh kiab Bible rujukan penganut Kristian. Penyataan Konsili tersebut bermula dengan kata-kata penghormatan buat muslim tetapi menegaskan yang dalil-dalil dari Al-Quran dan Bible tentang 'Tuhan' adalah bertentangan.

8. Penyataan konsili itu menyebutkan:

Ayat dari Bible '2 John 1:9 Whosoever transgresseth, and abideth not in the doctrine of Christ, hath not God. He that abideth in the doctrine of Christ, he hath both the Father and the Son'.

Surah 19:88 They say: "(Allah) Most Gracious has begotten a son!" 89 Indeed ye have put forth a thing most monstrous!"

- Yang bermaksud - 'Dan mereka berkata: Tuhan Yang Maha Pemurah mempunyai anak. Sesungguhnya kamu telah mendatangkan sesuatu perkara yang sangat mungkar.'

Sila rujuk surah Maryam ayat 88 dan 89.

9. Terdapat banyak ayat-ayat perbandingan lain dari Bible dan Quran lagi dikemukakan dan Declaration on the Relation of the Church to Non-Christian Religions, The Second Vatican Council, Promulgated by His Holiness Pope Paul VI, October 28, 1965' itu secara tegas menolak penggunaan kalimah Allah untuk orang Kristian. Ini kerana Allah Vatican sendiri menyatakan Allah menurut Islam tidak punya anak. Sedangkan dalam agama Kristian, Allah punya anak (Astaghfirullah).

10 Oleh kerana Vatican sendiri menolak penggunaan kalimah Allah untuk penyebaran agama Kristian; maka kita tertanya-tanya apakah sebabnya Kristian di Malaysia beria-ia dan bersungguh-sungguh mahu menggunakan kalimah Allah dalam gereja dan dalam akhbar mereka?

11. Umat Islam dari apa jua parti dan jalur mesti bersatu untuk mendepani 'kekeliruan' yang boleh tercetus akibat dari 'insiden/tuntutan aneh' ini. Sila berhenti menyalahkan satu sama lain dan sila berhenti menunjukkan yang kumpulan atau parti anda lebih (kononnya) terkehadapan dalam memperjuangkan isu ini. Ulama dan tokoh politik Islam yang menyokong penggunaan kalimah Allah buat orang Kristian eloklah bertaubat.

Kita berharap Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja akan peka dengan isu yang boleh menjadi api dalam sekam ini di tengah-tengah usaha untuk kita memelihara keharmonian bangsa-bangsa Malaysia.





12. Menurut Islam, kalimah Allah mestilah sentiasa digandingkan dengan kalimah Muhammad kekasih-Nya. Saya tidak dapat membayangkan kalimah Allah digandingkan dengan kalimah Jesus 'selaku anaknya'. Bolehkah anda selaku seorang Muslim (tidak kiralah saudara ahli UMNO, PAS atau PKR) menerimanya?


** KREDIT diberikan buat sdr Faisal Tehrani (klik sini)


Pengantara Majlis: A. Awang

Ahad, 2010 Januari 03

Larangan Kristian Guna Nama 'Allah': Ulasan Ringkas Oleh Zaharuddin Abd Rahman

Oleh Ustaz Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap penggunaan perkataan 'Allah' adalah tidak sah. Berikutan itu, mahkamah membenarkan permohonan Gereja Katholik untuk mengetepikan larangan tersebut. Hakim Lau Bee Lan berkata arahan oleh menteri dalam negeri itu adalah 'tidak sah dan batal".

Menurutnya, akhbar mingguan The Herald boleh menggunakan perkataan 'Allah' dan menegaskan bahawa perkataan tersebut bukan hanya ekslusif untuk Islam sahaja. Keputusan mahkamah mengetepikan larangan KDN itu, akan memboleh The Herald dan penerbitan bukan Islam yang lain, menggunakan perkataan 'Allah' sebagai terjemahan bagi perkataan 'Tuhan' dalam versi bahasa Melayu mereka.

Hakim Lau berkata semua rakyat Malaysia mempunyai hak perlembagaan untuk menggunakan perkataan 'Allah'. Bagaimanapun, memandangkan implikasi kes ini, KDN dijangka memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi hari ini

SUDUT HUKUM

Berikut di atas tadi adalah petikan berita Malaysiakini bertarikh 31 Disember 2009.

Isu ini turut menjadi hangat khususnya apabila terdapat beberapa pandangan diberikan oleh kumpulan ilmuan. Kumpulan pertama yang tidak membenarkan dengan pelbagai hujjah dan nas, demikian juga kumpulan kedua. Secara asasnya, ini adalah isu cabang dalam bab aqidah yang tidak sama sekali menjatuhkan seseorang dalam kekafiran, perbezaaan pendapat dan ijtihad adalah dibenarkan dalam hal ini.

Dalil-dalil yang diutarakan oleh kedua-dua kumpulan, masih terdiri dari dalalah yang zhonniah, hasil takwilan dan tafsiran. Hanya yang tidak memahami ilmu Usul Fiqh sahaja akan merasakan ia tergolong dalam hal usul yang jatuh kufur bagi yang berbeza. Juga tiada wajar bagi menuduh secara rambang bahawa sesiapa yang membenarkan tergolong dalam kategori Islam liberal, mungkin sebahagiannya benar ingin menyamaratakan semua agama, namun tidak semuanya membenarkan dengan niat sedemikian.

Setelah melakukan penilaian terhadap pelbagai hujjah dan pandangan silam dan kontemporari. Secara asasnya, saya lebih cenderung kepada pendapat yang MENGHARUSKAN penganut Kristian untuk menggunakan nama Allah swt. Antara nas yang paling jelas adalah :

Dan sesungguhnya, jika kamu (Wahai Muhammad) bertanya kepada mereka: "Siapakah yang menciptakan mereka?" sudah tentu mereka akan menjawab: "Allah!". (jika demikian) maka bagaimana mereka rela dipesongkan? Dan (Dia lah Tuhan Yang mengetahui rayuan Nabi Muhammad) yang berkata: Wahai Tuhanku! Sesungguhnya mereka ini adalah satu kaum yang tidak mahu beriman!" (al-Zukhruf : 87-88).

Ini hanya satu dalil sahaja, memang boleh diperdebatkan dengan pelbagai sisi pandang SEPERTI mentafsirkan Allah dalam ayat itu bukan sebagai ‘ALLAH' dalam konteks yang dikhususkan oleh Islam yang terkandung di dalam surah al-Ikhlas, tetapi adalah tuhan pencipta secara umum.

Namun di dalam kaedah dalam fiqh, memerlukan kepada dalil lain jika takwilan sedemikian ingin dilakukan. Khususnya masyarakat Jahiliyyah sudah sedia maklum berkenaan agama yang dibawa oleh Nabi Ibrahim a.s, dan Allah telah difahami merujuk kepada siapa.

Cukuplah, saya tidak ingin menghurai panjang dan berbahas dalam hal ini, hakikatnya banyak lagi nas dan dalil lain yang menyokong kepada keadaan membolehkan tersebut. Menurut penilaian dan pengamatan saya, pandangan membolehkan adalah terlebih kuat daripada hujjah kumpulan yang menolak.

Saya juga kurang bersetuju untuk dipisahkan nama Allah kepada pengertian lughah (dari sudut bahasa secara literal kononnya merujuk kepada tuhan umum), dan Allah secara istilah yang merujuk kepada Allah yang disebut di dalam surah al-Ikhlas.

Satu lagi, perlu diingat, sama ada nama Allah digunakan di dalam Bible atau tidak, itu tidak sama sekali penting untuk kita, kerana Bible bukan rujukan kita tetapi Al-Quran. Oleh itu, merujuk kepada bible dalam mencari pendirian dalam hal ini adalah salah sama ada secara sedar atau tidak sedar. Umat Islam hanya merujuk Al-Quran dan Hadis dalam menentukan sikap dan pendirian, bukan Bible. Apatah lagi menurut keyakinan Islam, bible yang wujud hari ini bukanlah sama sepenuhnya dengan injil yang diturunkan kepada Nabi Isa as beribu tahun dahulu.

TETAPI ..

Namun demikian, itu adalah dalam konteks penelitian dalil dan nas, atau konteks ilmiah. Dalam konteks kesesuaian dan Siyasah Syari'yyah khususnya bagi mengelakkan salah guna dan kekeliruan khususnya di Malaysia, saya cenderung untuk BERSETUJU LARANGAN PATUT DIBUAT oleh pihak kerajaan atau Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Selain itu, saya juga tidak setuju istilah lain seperti solat, kaabah, masjid digunakan oleh pihak selain Islam untuk ibadat dalam agama mereka.

Memang benar, mudarat dan maslahat mungkin sahaja berbeza mengikut penilaian masing-masing, dan tentunya ia bakal memberikan kecenderungan berbeza-beza. Namun pada hemat dan penilaian saya, unsur kemudaratan lebih wajar dielakkan dalam hal ini.

Justeru itu, penggunaan nama Allah oleh pihak Kristian khususnya dalam penulisan mereka, amat wajar dilarang oleh pihak kerajaan. Di dalam hukum Islam, kerajaan berhak memutuskan hukuman di dalam konteks menghalang mudarat yang dijangkakan.

Dalam konteks Malaysia menurut perkiraan saya, penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian amat dibimbangi boleh mencetuskan ketegangan antara penganut agama seterusnya boleh membawa pergaduhan yang serius jika gagal dikawal.

Lebih lagi, apabila mengenang keadaan umat Islam yang ada hari ini terlalu amat lemah. Keadaan missionary bukan Islam yang amat galak untuk menggunakannya dengan tujuan-tujuan tertentu serta kemunculan beberapa kumpulan bukan Islam yang diyakini akan menyalahgunakan nama Allah dalam tulisan mereka secara berleluasa sehingga membawa kekeliruan bagi penganut Islam. Jika dilakukan kajian teliti terhadap hal mudarat ini, elok benar tindakan KDN untuk melarang.

Sekali lagi perlu diingatkan, perlu diperbezakan keputusan hukum dan siyasah syar'iyyah. Sekuat manapun hujjah untuk membenarkan kristian menggunakan nama Allah, namun hujjah dari sudut mudarat dan kesesuaian konteks di Malaysia, larangan amat patut dilakukan, sama ada untuk tempoh tertentu atau berterusan atau mungkin boleh dibenarkan tetapi dengan syarat-syarat tertentu seperti semua bahan cetak yang ingin diedarkan itu perlu mendapat kelulusan KDN bagi setaip keluarannya dan juga dilaksanakan sekatan pengedaran secara terbuka (hanya terhad kepada penganut Kristian). Ini penting bagi menghindarkan mudarat yang boleh menimpa orang awam Islam yang sedang lemah, dan ruang konflik antara agama yang amat mudah ternyala api pergaduhan.

Kesimpulannya, secara peribadi saya berharap agar rayuan keputusan yang akan dilakukan oleh KDN Berjaya mencapai keputusan sebaiknya.

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
15 Muharram 1431 H
01 Januari 2010


** Dipetik dari laman sahabatku di MyAdha


Pengantara Majlis: A. Awang

Salam Kepada Laut - Mengundang Badai Setinggi Bangunan Tun Mustapa






Sampaikan salamku pada laut


ku ucap takziah padanya


Semalam jernih airnya


mulai keruh kembali


Asbab 'SIAL' dilempar


dan dicampakkan di dasarnya.




Semalam,


laut meratap


mengaduh kesakitan


Semahunya ia mahu memohon


kepada Tuhan-Nya


agar mengizinkannya


menaikkan ombak


setinggi bangunan Tun Mustapa


lalu menghempas para manusia


yang sedang ligat menari


sambil berbogel di atas


... sahabat karibnya, Sang Pasir."


Tangan kelas ke-3 menulis ini: A. Awang
Tenaga Listrik Mengalir Ke Segenap Tubuh Zahir
-Selamat Tahun Baru Masehi Buat Sahabat2ku Sekalian-

Khamis, 2009 Disember 31

Gubra! (Kita Sama)






Berdirinya dia


di atas pentas


Astaka raya


Diterangi kilauan


lampu neon


yang berkelipan


terang benderang


Namun...


Dirinya sejuk


saatnya naik


menginjakkan


kakinya di atas


Astaka raya


Dia...


... Gubra!




Langkahnya dia


kejap; ketar


terasa ngilu; nyeri




Kertas pada tangan


Berombak; bergoyang


... yang gagah seolah naga


Sudah menjadi sehalus hama


... yang bisa seolah tedung


Sudah menjadi cacing di tanah




Dia senyap,


Dia sunyi,


Tiada bunyi,


Dia menggeletar,


Dia...


... Gubra!




Tiada


Mengira


Siapa pun


Aku, kau, dia


Kita atau kamu


... Tetap sama!




Mengapa?


Tahukah sebabnya?


Apabila kita


Berdiri di hadapan


para manusia


Pasti kita akan,


terpana seketika


kelu lidah segala,


degup jantung


terasa deras larinya,


kita...


... Gubra!


Itulah jawapannya.


Tangan kelas ke-3 yang menulis ini: A. Awang
Al-Fatihah buat Arwah Gus Dur yang baru saja kembali ke rahmatullah.

Selasa, 2009 Disember 29

Bahasaku...





** Gambar ini snap tadi pagi di... Berpuluh tahun bangunan itu dihuni tapi tiada seorangpun yang berminat hendak membetulkannya kembali. Aduh, bahasaku.



Oleh: Ampuan Awang